Nelly Murillo, 18, dana anak lelakinya berusia tidak sampai setahun, ditemui dekat kawasan pesawat ringan Cessna 303 terhempas dalam hutan tebal, Sabtu lalu.
“Ia ajaib. Kawasan itu amat berbahaya. Semangat wanita itu sebagai ibu pastinya amat kuat membolehkan bayi itu terus hidup,” kata Kolonel Hector Carrascal, pemerintah Tentera Udara Colombia di Antioquia.
Menurut Carrascal, Murillo yang hanya cedera ringan dan bayinya dibawa dengan helikopter ke hospital.
“Saya terkejut kerana mereka masih hidup. Wanita itu mengalami beberapa luka kecil dan melecur manakala bayinya tidak cedera,” katanya.
Juruterbang pesawat itu, Kapten Carlos Mario Ceballos, terbunuh dalam kemalangan itu.
Selepas menemui mayat juruterbang, pasukan penyelamat mendapati pintu pesawat terbuka menyebabkan mereka yakin ada mangsa yang terselamat.
Seramai 14 anggota penyelamat mencari dalam hutan tebal itu selama beberapa hari dan pada hari terakhir sebelum operasi mencari dan menyelamat ditamatkan, wanita berkenaan dan anaknya muncul berhampiran pesawat itu.
Pesawat itu menyediakan perkhidmatan pengangkutan antara kawasan pedalaman di utara Colombia dan ketika kejadian, ia sedang menuju ke Quibo dari Nuqui.
0 comments:
Post a Comment